KEMAS NEGERI JOHOR LAKSANA BAIKPULIH 50 TABIKA TAHUN INI


Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Johor | Sumber Facebook KEMAS JDT.

 

ISKANDAR PUTERI – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Johor telah melaksanakan baikpulih 50 buah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) dengan nilai peruntukan berjumlah RM1.4 juta, sepanjang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip berkata, pada tahun ini juga, sebanyak dua TABIKA bina baru dengan nilai RM660,283.

Menurutnya, kerajaan melalui KEMAS amat mengambil berat soal keselamatan premis terutama melibatkan kanak-kanak TABIKA dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA).

“Walaubagaimanapun, jumlah peruntukan tersebut belum mampu menampung keperluan baikpulih dan bina baru yang diperlukan bagi keseluruhan Negeri Johor,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, Selamat Takim mengenai bangunan TABIKA KEMAS yang uzur tetapi masih memiliki status tanah tidak jelas selain usaha baikpulih banguan kritikal demi keselamatan kanak-kanak.

Zahari berkata, untuk tahun depan, kerajaan melalui KEMAS Negeri Johor sudah merancang untuk melaksanakan baikpulih 93 premis TABIKA dengan nilai anggaran peruntukan sebanyak RM5.3 juta.

Katanya, permohonan tersebut telah diangkat ke Ibu Pejabat KEMAS pada Oktober lalu.

Mengulas mengenai status tanah yang tidak jelas, ADUN Buloh Kasap itu memberitahu kebanyakan kes tersebut merupakan kelas yang menumpang di pelbagai premis.

“Permintaan yang sangat tinggi menyebabkan pihak kerajaan melalui KEMAS telah berusaha memenuhi keperluan tersebut termasuk menyewa dan menumpang di pelbagai premis,” katanya.

Untuk rekod, KEMAS Negeri Johor mempunyai 848 bangunan atau institusi TABIKA terdiri daripada 1,153 kelas TABIKA dan 58 kelas TASKA.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 374 kelas beroperasi di bangunan sendiri, manakala 72 kelas menyewa dan 200 kelas beroperasi di bangunan milik agensi kerajaan.

Selebihnya sebanyak 507 kelas menumpang di pelbagai jenis premis seperti balai raya, surau, milik persendirian dan lain-lain.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor