Peserta RTK Paya Laka terima bayaran khas RM500

Peserta RTK Paya Laka terima bayaran khas RM500

WAN ROSDY Wan Ismail (tengah) menandatangani plak perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Infrastruktur Agrotourism Paya Laka, Kampung Sepayang di Rompin, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Seramai 262 peserta Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Paya Laka di sini menerima bantuan khas RM500 seorang bagi mengurangkan bebanan ditanggung mereka ekoran kenaikan kos sara hidup ketika ini. 

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bayaran itu dimasukkan ke akaun bank setiap penerima oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) melalui anak syarikat, PKPP Agro Sdn. Bhd.

“Saya dengan sukacitanya ingin memaklumkan khabar gembira kepada 262 orang peserta RTK Paya Laka bahawa pada hari ini, pihak PKPP melalui anak syarikat iaitu PKPP Agro Sdn. Bhd. telah mengkreditkan sumbangan Bantuan Khas berjumlah RM500 seorang secara dalam talian.

“Diharapkan dengan bantuan khas ini, ia dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung para peserta RTK dalam menjalani kehidupan seharian yang semakin mencabar ketika ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Infrastruktur Agrotourism Paya Laka, Kampung Sepayang di sini hari ini. 

Wan Rosdy berkata, dalam tempoh 27 tahun sejak penubuhan projek RTK Paya Laka ini, bayaran saham yang sudah dibuat kepada para peserta adalah berjumlah RM12.682 juta.

Beliau berkata, bagi tahun ini, bayaran yang sudah dibuat secara dalam talian sebanyak tiga kali dengan jumlah RM3,000 kepada setiap peserta.

“Saya dimaklumkan bahawa Paya Laka merupakan kawasan sawah padi seluas 324 hektar yang diusahakan oleh PKPP melalui PKPP Agro Sdn. Bhd. sejak 1995 lagi yang melibatkan 262 orang peserta.

“Projek Pembangunan Infrastruktur Agrotourism Paya Laka ini merupakan cetusan idea daripada Datuk Seri Hasan Arifin dan Datuk Seri Mohd. Johari Hussain bagi meningkatkan ekonomi masyarakat tempatan serta menarik pelancong dalam dan luar negeri ke daerah Rompin,” katanya.

Beliau berkata, perancangan untuk membangunkan projek ini sudah dibawa kepada perhatiannya dan beliau bersetuju agar PKPP membuat permohonan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada 2021 yang dilaksanakan oleh Datuk Suhaimi Mohd. Yunus selaku Ketua Pegawai Eksekutif PKPP dan pasukannya.

“Alhamdulillah, akhirnya KPLB dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) meluluskan peruntukan RM5 juta menerusi RMK12 dan projek ini akan siap dalam tempoh dua tahun.

“Sesungguhnya, saya percaya Agrotourism Paya Laka ini akan menjadi satu lagi destinasi pelancongan di negeri ini khususnya di daerah Rompin serta mampu menarik ramai pelancong kerana masih tidak banyak destinasi pelancongan yang berasaskan sawah padi di negeri ini,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.