Tue, 23 Apr 2024

HEADLINES :


Takungan air kapasiti 3 bulan diperlukan
Published on: Sunday, December 04, 2022
By: Larry Ralon
Text Size:

Takungan air kapasiti 3 bulan diperlukan
Datuk Ruslan Muharam - Sabah Gazette
ADUN Lumadan Datuk Ruslan Muharam mencadangkan pembinaan takungan air berkapasiti besar yang cukup untuk tempoh sehingga tiga bulan bagi mengatasi masalah air sungai yang terlalu keruh sehingga sukar diproses di loji rawatan air.Beliau berkata ia kerana loji sedia ada seperti yang ada di Beaufort hanya mampu menampung kapasiti air dalam tempoh singkat, iaitu selama dua jam.

“Tujuannya adalah untuk mengatasi masalah apabila air di Sungai Padas mengalami kekeruhan yang tidak dapat diproses oleh loji, mengakibatkan terhentinya bekalan air bersih kepada penduduk.

“Keadaan di sini (Beaufort), apabila banjir, loji tidak dapat memproses air bersih kerana air terlalu keruh. Begitu juga semasa musim kemarau, apabila sungai terlalu cetek. Oleh itu, saya amat menggesa agar perkara ini diberi perhatian serius oleh Kerajaan demi kesejahteraan rakyat,” katanya ketika membahaskan sokongan kepada Bajet Negeri 2023 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau turut berterima kasih kepada Kementerian Kerja Raya, yang melalui Jabatan Air Daerah Beaufort berjaya menyelesaikan 80 peratus masalah banjir di Beaufort, khususnya DUN Lumadan dan penduduk kini menikmati bekalan air bersih.

Selain itu, Ruslan turut menyarankan bagi mengurangkan isu banjir di Beaufort di mana penduduk terjejas akibat ancaman banjir, supaya jalan di sepanjang jalan utama itu perlu dinaikkan.

“Sebagai contoh, Jalan Bypass Limbawang, Jalan Bintuka dari Limbawang ke Kampung Kurian, Padas Damit, Jalan Bangkalalak dan Jalan Suasa yang perlu dinaikkan bagi mengelak jalan perhubungan terputus apabila banjir berlaku.

“Dalam masa sama, isu terputus hubungan ketika banjir juga sering berlaku di Beaufort. Justeru, sistem perparitan yang sistematik amat diperlukan di sepanjang jalan yang saya sebutkan itu,” katanya.

Di bawah Perbelanjaan Tidak Termasuk di Kementerian berjumlah RM38.79 juta, Ruslan mencadangkan peruntukan disalurkan bagi menaik taraf Jalan Kg Mentulud, termasuk Jalan Mentulud Satu dan Jalan Mentulud Dua melibatkan jarak sejauh 2.5 kilometer.

Beliau berkata keadaan jalan raya di kampung ini menjadi isu semasa kempen pilihan raya lalu, di mana ramai daripada kira-kira 1,200 penduduk kampung mempersoalkan kenapa jalan berusia 40 tahun itu masih belum dinaik taraf (kepada jalan berturap).

Kampung itu mempunyai tiga Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan berpotensi sebagai pusat pelancongan, pertanian dan perikanan.

Ruslan juga berharap melalui peruntukan di bawah Kementerian Pertanian dan Perikanan berjumlah RM501.54 juta, sektor pertanian melalui Jabatan Veterinar akan dapat membangunkan kawasan padang ragut terbiar di DUN Lumadan yang telah pun dikenal pasti.

Katanya, terdapat sebanyak tujuh kawasan yang dikenal pasti antaranya Padas Damit, Gadong, Bangkalalak, Bintuka, Gerama, Mintulud dan Lupak, yang sesuai dijadikan kawasan ternakan kerbau yang lebih komersial.

“Kerbau semakin berkurangan di Sabah dan pada masa yang sama mendapat permintaan yang tinggi. Harga jualan seekor kerbau juga tinggi, yang tentunya dapat meningkatkan ekonomi rakyat, khususnya bagi rakyat dalam kategori B40 dan pada masa sama, kita tidak lagi bergantung kepada pengimportan daging dari luar negara. Selain itu, ia juga dapat memberi peluang pekerjaan kepada golongan muda di samping mengurangkan penghijrahan golongan muda ke Semenanjung atau ke luar negara,” katanya.

Merujuk kepada bajet di bawah Kementerian Kewangan berjumlah RM2.16 bilion, beliau merayu agar dana disalurkan kepada koperasi masyarakat yang berpotensi untuk dibangunkan.

Katanya, terdapat banyak koperasi yang telah ditubuhkan dan terbukti menyumbang kepada ekonomi negara serta memberi manfaat kepada rakyat melalui peluang pekerjaan dan sumber pendapatan.

“Dengan suntikan dana daripada Kerajaan, pastinya pembangunan gerakan koperasi di Sabah akan menjadi lebih pantas daripada kluster mikro kepada kecil, kecil kepada sederhana dan sederhana kepada besar. Sebagai nilai tambah kepada usaha ini, aktiviti koperasi seperti pelancongan, ternakan, perikanan dan produk IKS akan terus berkembang dan menyumbang kepada kemasukan pelabur dan pelancong dari luar,” katanya.

Ruslan turut mencadangkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar menaikkan elaun JPKK.

“Kita tahu mereka ini adalah nadi kepada jentera pentadbiran di peringkat kampung. Ia bukan sahaja tertumpu kepada JPKK di Lumadan tetapi juga semua JPKK di Sabah. Mereka ini adalah mata dan telinga Kerajaan yang membawa suara rakyat akar umbi dan kerana itu, saya sebagai wakil rakyat khususnya bersuara dan merayu agar perkara ini diberi perhatian dan pertimbangan oleh Kerajaan.

“Saya yakin peruntukan sebanyak RM212.63 juta dapat disalurkan kepada JPKK dengan mengenakan kenaikan elaun mereka selaras dengan peranan dan tanggungjawab yang dipikul berikutan beban sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyarankan agar elaun Mahkamah Anak Negeri (MAN) yang terdiri daripada Ketua Daerah (KD), Ketua Anak Negeri (KAN) Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), dan Ketua Masyarakat Cina (KMC) serta Ketua Kampung dinaikkan.

“Salah satu peranan penting yang dimainkan oleh MAN ialah memastikan hak setiap komuniti di negeri ini dilindungi. Selaras dengan komitmen mereka, saya merayu kepada Kerajaan di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan melalui peruntukan RM204.03 juta untuk meningkatkan elaun MAN di seluruh Sabah.

“Sudah tiba masanya elaun MAN dikaji semula dan kenaikan sewajarnya diberikan. Dengan ini, ia akan dapat membantu semua ahli MAN dalam menyara kehidupan seharian mereka,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here